.:Semarakkan Ramadhan:.

Selamat menyambut ramadan kepada sahabat-sahabat sekalian. Moga kita dipanjangkan umur untuk menjalani ibadah pada bulan ini dengan sebaiknya. Ingin dikongsikan serba sedikit berkenaan ramadan yang diperolehi dari ceramah Semarak Ramadan oleh Ustazah Siti Nor Bahyah petang tadi.

Menurut Imam Ghazali, umat Islam dianjurkan supaya tidak makan secara berlebihan apabila berbuka puasa. Di samping itu, terdapat beberapa perkara yang perlu diberi perhatian dalam soal pemakanan iaitu halal haram. Ini penting kerana makanan itulah yang akan menjadi darah daging kita. Mengapa kini berlakunya anak yang derhaka kepada ibu bapa, pelajar sukar untuk menghafal, anak-anak tidak mendengar nasihat. Semuanya bermula dari pemgambilan makanan yang kurang berkhasiat dan tidak halal. Hal ini nampak mudah akan tetapi memberikan kesan yang cukup besar dalam kehidupan kita terutamanya individu itu sendiri.


Kemudian, amalan sahur secara berjemaah samada bersama keluarga atau kawan-kawan. Maksud sahur itu sendiri adalah tidur dahulu dan bangun kembali. Ada yang tersalah mentafsirkan sahur sebagai makan lewat malam iaitu sebelum tidur. Dari Nabi s.a.w, keberkatan itu ada pada sahur. Manakala Salman Al Farisi berpandangan keberkatan itu ada pada makanan yang dimakan. Zaid B Tsabit pernah bersahur bersama-sama Rasulullah. Seketika kemudian terdengar laungan azan. Lalu beliau bertanya baginda Rasulullah berkaitan jarak antara sahur dan subuh. Baginda menjelaskan bahawa jarak antara sahur dan subuh adalah sekadar membaca 50 ayat suci Al Quran iaitu waktu sahur yang terbaik. Selain itu, kita juga disarankan agar perbanyakkan berdoa dalam waktu ini.


Amalan tadarus Al Quran juga wajar dijadikan amalan. Tetapi bukanlah bermakna pada bulan-bulan amalan ini ditinggalkan. Diceritakan kisah seorang lelaki yang telah meninggal dunia. Di dapati dalam kuburnya terang benderang dan terdapat satu lembaga. Lalu, beliau bertanya siapakah engkau ? Lembaga itu menjawab, akulah yang selalu engkau baca suatu ketika dahulu iaitu Al Quran. Antara ganjaran yang diberikan kepada hambaNya yang mempelajari Al Quran adalah dapat melihat Allah dan dikurniakan mahkota di syurga bukan sahaja untuk dirinya malah kedua ibu bapanya.Di samping itu, terdapat 6000 malaikat yang akan mendoakan hamba yang khatam Al Quran sebanyak sekali.


Lazimnya, pada awal ramadan kita dapati masjid dan surau dibanjiri dengan orang ramai. Sebaliknya berlaku di akhir ramadan. Umat Islam dianjurkan supaya memperbanyakkan amalan pada sepuluh malam terakhir bagi mengejar Lailatul Qadar. Malaikat akan memasuki semua rumah yang mana penghuninya menghidupkan malam Lailatul Qadar untuk berjabat tangan dan mengampunkan dosa-dosa mereka.

Antara tanda-tanda hamba Allah yang berjabat tangan dengan malaikat adalah :
· Bercucuran airmata
· Hati terasa sayu
· Gementar tubuh badan


Namun, terdapat juga hamba yang tidak dipandang oleh Allah dan doanya tidak
dimakbulkan iaitu :
· Peminum arak yang tidak bertaubat
· Orang yang memutuskan silatulrahim
· Seseorang yang bergaduh/bermusuhan melebihi 3 hari
· Anak yang derhaka.


Sebagai iktibar kepada kita semua, ingin dikongsi kisah benar yang berlaku
kepada 5 orang adik beradik yang melupakan jasa dan pengorbanan ibu mereka. Ibu ini membesarkan bekerja siang dan malam bagi membesarkan anak-anak dengan satu nawaitu iaitu ingin melihat semua anaknya berjaya. Berkat doa seorang ibu, kesemua anak ini berjaya dan memegang jawatan penting dalam syarikat. Dalam kesibukan kerja dan menguruskan kelurga masing-masing, mereka mengambil keputusan meletakkan ibu yang uzur di sebuah rumah sewa yang kecil. Dengan mengupah orang gaji yang berekrja sehingga pukul 4.30 petang. Selepas waktu itu, ibu tua ini tinggal seorang diri dengan keaddan yang tidak mengizinkan. Tidak mampu untuk bangun, makan dan menguruskan diri sendiri. Malam ibu ini dipenuhi dengan linangan airmata mengenangkan sikap anak-anak terhadap dirinya.

Bertahun menanti kehadiran anak datang menjenguk. Namun, impian hanya tinggal impian. Satu hari, apabila orang gaji datang dan membuka pintu rumah dilihat ibu ini tiada di katil. Sebaik sahaja pintu bilik air dibuka, sekujur tubuh dilihat kaku. Orang gaji ini cuba untuk mengangkat, tapi tidak mampu. Dilihat darah bercucuran di kepala dan ibu ini tidak lagi bernyawa. Setelah dimandi dan dikafankan, lima orang anak ini datang dan merayu kepada agar dihalalkan titisan susu yang pernah diberikan kepada mereka. Menangis dengan titsan darah sekalipun tiada gunanya lagi. Yang pergi tidak akan kembali lagi. Selang beberapa ketika, nikmat yang diebrikan Allah kepada anak-anak ini ditarik dalam sekelip mata. Anak-anak ini hilang kewarasan dan harta kerana tiada lagi doa dari seorang ibu. Seorang ibu mampu menjaga 10 orang anak, namun seorang anak belum tentu mampu menajaga seorang ibu. Moga-moga kita tidak tergolong dalam golongan ini. Jaga dan hormatilah ibu bapa selagi mana kita masih diberikan peluang untuk membalas jasa mereka.

Sesungguhnya yang baik itu datangnya dari Allah. Diharapkan terdapat sedikit pengajaran dan teladan yang boleh kita jadikan iktibar bersama.


Ceramah Semarak Ramadan
Ustazah Siti Nor Bahyah
22 Sept 2006
Dewan Jamuan, UTM Skudai

Comments

Popular Posts