Barang Jenama Anda

Thursday, January 13, 2011

Kembalinya Cahaya kepada Yang Maha Memberi Cahaya

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket
"Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang"

Tanggal 5 Safar 1432H bersamaan 10 Januari 2011 yaumul Isnain. Hari dan tarikh yang tidak akan ku lupakan selama-lamanya di dalam kamus hidup aku sebagai seorang yang bernama insan. Hari ini jam 9.30 pagi. Ibuku pergi menemui Rabbul Izzati dengan tenang tanpa sesiapa pun di sisinya di ICU HSA Johor Bahru. Rasa terkilan tidak dapat dan sempat melihat Ibu di saat arwah hendak meninggalkan kami semua. Tempoh kami di ambil di atas kesesakan lalu lintas di Johor Bahru ini untuk menatap wajahnya yang terakhir. Tidak kami jangka perkara ini berlaku. Tetapi kami tetap redha dengan suratan takdir yang telah Allah berikan kepada kami sekeluarga.

Aku ketika itu masih lagi berada di dalam kereta untuk mencari parking kereta yang penuh sesak kerana hari Isnin ialah hari pembukaan kerja dan mingguan. Deringan HP aku berbunyi dan aku lihat ayahku membuat panggilan. Aku angkat...dan aku dapat rasakan yang panggilan ini adalah panggilan keramat bagi aku. Ayah tanya aku di mana " Abang dekat mana nak?". Aku menjawab " Abg tengah cari parking ayah..". Ayah aku dengan nada sayu dan sebak berkata, " Abg ... sabar yer nak, Ibu dah tak ada". Ya Allah masa itu hanya Allah sahaja yang tahu betapa luluhnya hatiku, rasa tidak tertekan pedal minyak untuk mencari parking. Aku terus mencari parking dan letakkan kereta di antara-antara kereta yang banyak. Aku dah tak kisah dah orang nak maki atau marah dengan keadaan kereta aku.

Aku kuatkan dan gagahkan juga kaki ini untuk sampai ke bilik ICU BARAT HSA JB katil nombor 11 tempat ibu aku ditempatkan. Aku berlari sambil air mata bercucuran keluar dari mataku. Tidak aku menyinggah tangganku untuk mengesat air mata yang mengalir deras. Aku berlari menuju tangga. Rasa macam tidak bermaya aku hendak menaiki anak tangga yang jumlahnya ada di dalam 60 anak tangga. Selama 24 hari aku ulang alik di Wad ICU HSA JB ini. Masakan aku tidak mampu hafal jumlah anak tangga ini.

Aku berlari di dalam lorong ke Wad ICU Barat, setibanya aku di muka pintu bilik terlihat adikku angah tengah menelefon dan menangis teresak-esak. Aku dakap akak dengan penuh sayu. " Sabar ye akak...Ini sudah suratan..", Aku terus masuk ke dalam bilik ICU dan pergi ke katil 11 tempat ibuku di rawat. Kelihatan katil ibu tertutup dengan langsir. Aku nampak ayah sibuk menelefon saudara mara dan kerabat sambil teresak-esak menahan sebak. Aku terus pergi ke katil ibu dan aku lihat terkujur tubuh seorang insan yang terlalu aku sayang dan kasihi yang tidak ada tolak bandingnya di dalam dunia ini. Aku buka selimut yang menutupi muka ibu ku. Aku sebak tak terkata, aku menangis sambil menahan suara tetapi suara kecil dan esakan akhirnya keluar juga walaupun aku tahan dengan kekuatan diriku.

Aku kucup dahi ibuku, aku cium kedua pipinya, berkali-kali aku buat perkara yang sama sambil aku bisikan sesuatu pada ibu. " Ibu...kenapa ibu tak tunggu kitorang, sekejap je kitorang dah nak sampai tau bu....sampai hati ibu buat kami macam ni...Ibu...Abg sayang ibu...Rindu sangat kat ibu". Aku tak sedar air mata aku menitis di muka Allayarhamah ibuku. Aku kesat dan aku cakap lagi dengan ibu, " Ibu...moga ibu tenang di sana yer...abg tetap anak ibu..Abg akan doakan ibu ye". Aku ambil surah Yassin di tepi katil ibu dan terus membacanya. Tidak sampai setengah aku terbehenti kerana aku tak dapat nak baca dengan lancar. Selepas itu aku terus menelefon bekas tunangku di luar negara memberitahu berita ini. Terkejut dan menangis itulah yang aku dengar dari reaksi suara dia. Kemudian aku sampaikan kepada saudara mara dan sahabat handai aku yang rapat dengan aku.

Jenazah ibuku kemudiannya di bawa ke bilik forensik untuk dimandikan dan dikafankan. Sebelum dimandikan, ayah memberitahu pada ustazah yang diamanahkan supaya menunggu adik-adik aku dari pontian iaitu Adik Hajar(Usu), Adik Farah(Ancik), Adik Erin (Uda) bersama Pak Usu Badang dan Mak Usu Sal. Sampai sahaja di karangan tempat itu, betapa sedihnya aku tengok dan sebaknya hati adik-adik aku. Luluhnya dan runtunnya hati kami hanya Allah sahaja yang tahu. Ayah terus memeluk adik (Hajar), yang teresak-esak, aku memeluk Farah dan Akak memeluk Erin. Hanya Anis yang tiada sebab ondway balik dari Melaka. Aku alhamdulillah malam semalam sudah balik dari Bangi UKM kerana menduduki final exam bagi first sem aku.

Kemudian adik-adik aku diberi peluang dan amanah untuk memandikan arwah ibu. Alhamdulillah selesai sudah memandikan arwah Ibu. Saudara mara berpeluang melihat arwah Ibu buat kali yang terakhir. Akak kemudiannya menghias arwah ibu kali yang terakhir. Melihat arwah ibu kemudiannya mencium dahi dan pipinya yang begitu dingin. Ya Allah hanya Allah sahaja yang tahu keadaan aku ketika itu. Perasaan yang bercampur-campur dan tidak keruan.

Apabila selesai semuanya, arwah ibu di masukkan ke van jenazah Majlis Agama Islam Johor. Kemudia aku pula terus pulang ke Ayer Hitam memandangkan di sana orang sedang tunggu jenazah Ibu. Setibanya di perkarangan Taman Suria, ya Allah ramainya orang-orang taman yang mengegelilingi perkarangan rumah. SubhanAllah rasa macam tak percaya dengan keadaan ramainya orang ketika itu. Syukur Alhamdulillah.

Setibanya di luar rumah dan turun dari kereta, aku dan adik-adik dipeluk oleh orang ramai dan jiran-jiran. Aku yang turun dari kereta dipeluk oleh Cik Syam. Betapa sayunya diri aku. Menangis aku di bahu Cik Syam yang aku dah anggap seperti bapa aku sendiri. 5 minit sampai di rumah, kelihatan Van Jenazah yang membawa arwah ibu sampai. Diturunkan jenazah ibu ke dalam rumah untuk tatapan saudara mara dan sahabat handai serta jiran tetangga. Iringan air mata kelihatan yang teramat buat insan-insan yang dekat dan mesra dengan arwah ibu. Terdengar sedikit kata-kata dari kalangan sahabat handai ibu, " Min...dah tak der kau yer, cepatnya engkau tinggalkan kita semua..." Aku yang ketika itu sedang mengusung jenazah ibu untuk membawa masuk ke dalam rumah, merembeskan air mata buat kali ke berapa yang aku tidak tahu. Selesai meletakkan jenazah ibu aku dan ayah masuk ke bilik adik untuk bertemu nenek. Sayup rasanya dan deraian air mata serta sahutan esakan kedengaran di bilik adik. Ayah memeluk nenek dan menangis.

Aku mengambil wudhuk dan kemudian membawa bacaa Yassin dan tahlil buat kali terakhir sambil menungggu kepulangan Nor Farhanis adik aku yang ke empat dari Melaka. Dalam bacaan Yassin entah berapa kali aku leraikan air mata membasahi pipi i ni. Aku tatap tubuh yang terkujur di depanku. Seperti tidak ku sangka yang ibu pergi meninggalkan kami dulu. Ya Allah hanya engkau yang boleh mententeramkan jiwa ini. Selesai tahlil, kelihatan Anis tiba dan melangkah masuk dengan air muka yang terlalu tenang, Ya Allah kuatnya adik aku ini menerima semua ini. Selesai sudah Yassin dan Tahlil. Masa yang paling aku rasa x mampu untuk menempahnya, mengucup ibu buat kali terakhir. Adik-adik, ayah dan juga saudara mara mencium ibu buat kali terakhir sebelum di bawa ke Surau Ar-Rahman untuk disolatkan.

Alhamdulillah aku mengimamkan jenazah ibu dengan kekuatan dan tenaga yang Allah berikan. Rasa longlai dan lemah kaki ini untuk menampung semua ini. Alhamdulillah ku terima jua amanag yang dipertanggungjawabkan sebagai anak untuk ibunya. Syukur pada Allah aku dapat menyelessaikan tugasan ini. Walaupun sebenarnya masih banyak lagi tanggungjawab yang perlu aku lakukan untuk ibu.

Jenazah Ibu kemudiannya di bawa ke perkarangan perkuburan Islam Ayer Hitam, dan Ibu liang lahadnya betul-betul di aras lerengan bukit. Alhamdulillah cuaca yang Allah berikan ketika itu begitu memahami dan mengerti dengan keadaan awan dan cuaca yang seakan-akan suram seperti hendak hujan tetapi tidak hujan. Syukur padamu Ya Allah kerana engkau memudahkan pengurusan jenazah ibu.

Inilah masa yang tidak akan ku lupakan hingga akhir hayatku iaitu mengangkat jenazah ibu ke dalam liang lahad, dan kali terakhir menatap wajah BONDAku yang terlalu ku sayangi AMINAH BINTI HJ KAYAT. Wajah arwah ibu yang tersenyum mendamaikan aku dan aku redha dengan pemergiannya. Ku ciumkan wajahnya di tanah, iaitu asal usul semua manusia. Ya Allah ... Terangilah makam Bondaku ini dengan cahaya keimanan darimu, Kau luaskan makam bondaku ini dengan seluas-luasnya dari Mu, Dikau permudahkan soal jawab Malaikat Mungkar dan Malaikat Nangkir kepada bondaku. Moga Ibu berada di kalangan orang-orang yangg beriman dan solehah. Ya Allah cucurilah rahmat ke atas bonda.

Ibu...Ketahuilah bahawasanya. Allahlah tempat kembali dan di pusara bonda ini tempat ibu beristirehat dari kejahatan dan kemaksiatan. InsyaAllah diriku akan menunaikan amanah sebagai anakmu. Amin....

Al-Fatehah
buat bondaku
AMINAH BINTI HJ KAYAT
yang pergi ke rahmatullah
Isnin
5 Safar 1432 Hijrah
10 Januari 2011

Pilihan iklan Anda

Iklan Nuffnang