Pencabulan Puasa: Budaya Natalisasi

Sesunguhnya keganasan perang budaya telah mencapai kemelampauannya apabila bulan Ramadhan yang mulia ini turut mengalami serangan ganas. Dalam al-Baqarah ayat 183, Allah berfirman, menetapkan misi puasa yang suci: Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas diri kalian berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa.

Tidak dapat tidak matlamat akhir puasa ialah untuk mencapai ketakwaan, merupakan satu ibadah dan juga amal saleh.

Dalam surah az-Zumar ayat 10 pula, Allah berfirman: Sesungguhnya hanya orang-orang bersabarlah yang dicukupkan pahala mereka tanpa batas.

Perang yang dilancarkan oleh pengganas ke atas tatacara hidup kita kini tersebar secara menusuk dalam ibadah puasa. Usaha puasa untuk mencapai takwa, garis lurus dari keimanan dan keislaman sedang galak dipesongkan. Takwa adalah satu bahagian penting daripada kehidupan umat Islam di mana ia adalah satu kejadian ‘Allah tidak kehilangan diri kita tatkala Dia memberi perintah dan Dia tidak menemukanmu ketika Dia melarang.’

Bulan Pembeza Hak dan Batil

Sayugia diingatkan bulan Ramadhan ialah bulan di mana al-Quran diturunkan justeru ia adalah bulan berkat di mana Allah menegaskan ‘sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeza antara yang benar dan yang batil.’ Hakikat ini menunjukkan bulan Ramadhan bukanlah sebagai bulan puasa semata-mata tetapi ialah bulan yang mana kita meraikan turunnya al-Quran, bulan di mana amat bernilai kerana al-Quran dijadikan perlembagaan dan tatacara hidup kita. Bulan di mana Allah mulai beransur-ansur memisahkan kita dari hak dan batil.

Namun begitu adalah amat dikesali, bulan Ramadhan yang suci ini juga menjadi bulan di mana pengganas budaya melancarkan ketetapan untuk mencampurkan hak dan batil. Hal ini tercermin pada rancangan televisyen yang meresap masuk dalam rumah dan kamar kita, bertugas untuk mendefinisi kembali budaya hidup kita iaitu budaya beragama menjadi budaya tanpa agama. Juga menerusi budaya natalisasi.

Bagaimana ia dilakukan?

Budaya Sebenar Puasa

Apakah budaya sebenar puasa? Dalam sebuah hadis qudsi Allah menyebutkan, ‘Puasa itu untuk-Ku dan Aku yang akan membalasnya.’ Hal ini menunjukkan betapa puasa memiliki nilai spiritual yang tinggi. Malah puasa adalah sebuah gerakan evolusioner yang meneguhkan keberadaan manusia sebagai khalifah Allah.

Mana tidaknya, kita memahami betapa takamul atau evolusi adalah satu hukum atau proses yang ditetapkan oleh Pencipta kita sebagai satu proses menuju kesempurnaan. Secara logiknya orang yang susah akan berusaha untuk menjadi senang dan apabila tiba di puncak kesenangan nilainya amat besar kerana ia berproses dari kesusahan. Puasa Ramadhan mengandungi kebijaksanaan ini. Manusia yang telah mengalami penderaan nafsu selama sebulan akan memudahkan manusia untuk melakukan ‘uruj atau penjulangan menuju Allah. Pengurangan dan nilai kesukaran yang dialami oleh manusia selama berpuasa akan mengajarkan seorang muslim satu proses evolusi daripada penderitaan dan kesengsaraan kepada kedekatan dengan Tuhan. Inilah yang cuba ditonjolkan dalam budaya puasa, satu exciting journey menuju Allah, dari evolusi menanjak kepada keagungan nilai Ilahiah.

Kita sering mendengar puasa mengajar kita menjadi lebih insaf kerana dengan berpuasa kita akan mengenang kemelaratan orang yang lebih kurang daripada kita.

Bagaimanakah itu berlaku? Tidak lain tidak bukan, proses keinsafan ini berlaku kerana nilai dan falsafah puasa yang terletak pada ukuran yang diletakkan oleh Islam untuk masyarakat konsumer. Puasa memberi kita pendidikan tentang nilai guna dan nilai mahu.

Satu ketika dahulu pelanggan membeli sesuatu kerana memerlukannya. Kita membeli kenderaan untuk memudahkan perjalanan, kita membeli cincin untuk menghiaskan jari, kita membeli pena untuk menulis, pendek kata kita membeli kerana kita memerlukannya.

Akan tetapi gaya hidup manusia setelah mengalami serangan demi serangan budaya, khususnya dalam kalangan orang Islam ialah nilai guna telah berubah menjadi nilai mahu. Kini manusia membeli kenderaan kerana jenama, atau gaya, kerana nilai tanda (sign value), lojik keperluan menjadi lojik hasrat sehingga martabat menjadi satu fenomena. Kenderaan yang lebih bermartabat akan menjadikan si pemiliknya bermartabat. Sehingga tiba satu tahap di mana Allah mengingatkan dalam surah pendek yang biasa kita lazimi dalam solat iaitu surah at-Takasur ayat 1 dan 2: Bermegah-megahan telah melalaikan kamu hingga kamu masuk ke dalam kubur.

Puasa mempunyai nilai sosial yang amat besar. Puasa mengajar manusia menjadi kebal di tengah ribut gejala konsumerisme, di mana kita diajar untuk menahan diri kerana nafsu dikekang, kehendak dipasung dan keinginan didera untuk satu tempoh masa.

Merogol Puasa

Namun budaya puasa sebagai satu evolusi untuk menanjak kepada nilai ilahiah, atau budaya puasa untuk mengekang nafsu manusia dalam masyarakat konsumerisme telah ditelanjangkan, dicabul, dan dirogol semau-maunya bulan Ramadhan ini. Dan pemerkosaan ini berlaku secara terang-terangan tanpa cegahan dan disambut dengan penuh meriah. Bukan dengan kejijikan.

Bertentangan dengan budaya sebenar puasa untuk mengekang nafsu, pembajaan nafsu melimpah ruah sehingga nafsu umat Islam jadi mencanak-canak, ghairah dan berahi terhadap nilai anti Tuhan, serta meraikan nilai hasrat dan keinginan.

Majlis berbuka puasa dengan artis itu dan ini, Mawi sini Mawi sana dan pesta makan-makan sampai sahur di hotel-hotel terkemuka, serta bazar bulan Ramadhan yang dimeriahkan demi menarik perhatian pelancong adalah contoh perogolan budaya dan nilai puasa semahu-mahunya.

Kegiatan berbuka puasa bersama pemenang Akademi Fantasia misalnya menjauhkan matlamat puasa untuk membesarkan nilai spiritual atau nilai takwa. Atau sebelum berbuka puasa akan dihiburkan oleh Nabil atau Fazli Zainal adalah contoh-contoh kecil tetapi barah bahaya yang sedang berbiak.

Sedarlah, serangan perang budaya turut menimpa budaya puasa kita sehingga kita menjadi umat yang lupa. Allah berfirman dalam surah al-Hasyr ayat 19: Dan janganlah engkau seperti orang-orang yang lupa kepada Allah, lalu Allah menjadikan mereka lupa kepada diri mereka sendiri. Mereka itulah orang-orang yang fasik.

Natalisasi

Walter Armbrust, seorang antropologis dari Amerika melihat budaya puasa umat Islam mengalami satu serangan budaya yang maha ganas di mana apa yang berlaku ialah bukan lagi evolusi ke arah kesempurnaan sebaliknya revolusi ke arah pemujaan nafsu di mana budaya natalisasi atau hari natal disuburkan.

Puasa yang sepatutnya melatih manusia Islam menjadi serba kekurangan kini diajar dengan budaya konsumsi berlebihan. gaya hidup di hotel-hotel, buffet dan iftar dengan penyanyi atau pelakon menjadi-jadi.

Pengganas budaya yang sedar kelebihan budaya puasa yang mengajar keinsafan buat manusia kini menodainya secara sungguh-sungguh dan digantikan dengan budaya israf, satu istilah popular yang membezakan orang mukmin dengan orang kafir.

Proses christmastization hari-hari besar Islam menurut Armbrust menjadikan nilai-nilai keluarga runtuh diganti dengan aktiviti komersialisme seperti pesta, bersama artis dan kebebasan di mana aktiviti beribadah dikurangkan. Iklim rohani bulan Ramadhan yang sepatutnya mengingatkan manusia kepada hari Kiamat seperti sabda Rasulullah SAW: ‘Ingatlah, dengan rasa lapar dan dahagamu, akan lapar dan dahaga hari kiamat’ diperkosa dan digantikan dengan sikap lupa hari akhirat.

Hal ini juga begitu menakutkan kerana bulan Ramadhan yang sewajarnya menjadi bulan mengenangnya turun al-Quran iaitu petunjuk kepada hak dan batil telah bertukar menjadi bulan anti petunjuk. Manusia malah bertambah jauh dan tidak lagi menjalinkan hubungan dengan al-Quran.

Justeru ibadah puasa yang bermatlamatkan peningkatan spiritual serta kesedaran sosial dan politik disasarkan ke arah yang penuh material, malah membawa manusia kepada perilaku buruk.

Adalah menjadi tanggungjawab kita untuk membetulkan keadaan ini di mana kita harus kembali muhasabah diri di bulan puasa yang mulia ini, dengan tidak lagi menyegarkan keinginan hawa nafsu. Kerana hanya dengan menundukkan hawa nafsu sahajalah kita akan beroleh kenikmatan.

Dan adapun orang-orang yang takut kepada kebesaran Tuhannya dan menahan diri dari keinginan hawa nafsunya. Maka sesungguhnya syurgalah tempat tinggalnya. (al-Naziat ayat 40-41)

Comments

Popular Posts